7 FEBRUARI 2025 | UPNM: UPNM melakarkan satu lagi sejarah dengan berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor Ke-8. Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor UPNM yang baharu menggantikan YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad berkuat kuasa 30 Januari 2025.
Pelantikan ini adalah berdasarkan pengalaman dan reputasi kepimpinan beliau yang dilihat mampu meneraju dan memperkasa tadbir urus UPNM terutama dalam mengukuhkan pentadbiran organisasi, pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan bagi melahirkan bakat terbaik negara khususnya dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara.
YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad di dalam ucapannya telah menegaskan komitmen beliau untuk memastikan UPNM terus maju dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi dalam sektor pendidikan tinggi bagi mendukung aspirasi KPT.
Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor ini yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat telah disaksikan oleh YBhg. Tan Sri (Dr.) Syed Azman bin Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Turut hadir adalah barisan Pengurusan Tertinggi Universiti dan Dekan serta Pengarah Pusat Akademik. Seluruh warga UPNM mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad atas pelantikan sebagai Naib Canselor UPNM.
Pada masa yang sama, UPNM juga menzahirkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad atas segala jasa dan sumbangan beliau dalam memimpin UPNM sebelum ini.
28 JANUARI 2025 | UPNM: Hari ini, warga UPNM mengadakan acara perbarisan khas sempena perpisahan YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor, sebagai tanda penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau sepanjang menerajui UPNM. Sebelum meninggalkan UPNM, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada warga UPNM yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi, pegawai-pegawai kanan dan staf serta pelajar UPNM.
YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad mengambil alih portfolio Naib Canselor UPNM ke-7 bermula 19 Jun 2023 hingga 29 Januari 2025. Seluruh warga UPNM menzahirkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada YBhg. Naib Canselor atas segala sumbangan, dedikasi, komitmen yang telah diberikan.
20 JANUARI 2025 │ UPNM: YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia di pejabat beliau. Perjumpaan ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik antara UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
27 JANUARI 2025 | PUTRAJAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Naib Canselor yang akan menamatkan tempoh sebagai Naib Canselor UPNM ke-7 pada 29 Januari 2025. Majlis yang penuh bermakna ini diadakan di Everly Hotel, Putrajaya bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor yang memulakan tugas di UPNM pada 19 Jun 2023.
Dalam majlis ini, YBhg. Naib Canselor telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua lapisan pentadbiran yang sentiasa memberikan sokongan penuh dan berkongsi idea kepada beliau dalam menerajui UPNM.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim turut menzahirkan rasa bangga terhadap kepimpinan YBhg. Naib Canselor dalam mentadbir dan mengurus UPNM dengan cemerlang. Turut hadir dalam majis ini adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, barisan Pengurusan Tertinggi, pegawai-pegawai Kanan UPNM, wakil-wakil persatuan dan kesatian termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
16 JANUARI 2025 │ UPNM: Institut Pengajian Eksekutif UPNM (NIEEd) telah mengadakan Hari Pendaftaran dan Taklimat bagi pelajar baharu program Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan (DPPSP) Siri 54/2025 kerjasama di antara UPNM dengan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) telah diadakan pada hari ini di Dewan Bestari. Seramai 180 orang pelajar telah berdaftar dan mengikuti pengajian program ini. 147 orang adalah pelajar tempatan manakala 33 orang adalah pelajar antarabangsa dari 22 buah negara seluruh dunia.
Majlis dirasmikan oleh YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM dan dihadiri oleh Brig Jen Zamsari bin Abu Hasan, Komandan MTAT, Pengurusan Tertinggi UPNM, staf juruarah MTAT, dekan-dekan serta ahli akademik Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan.