Cokmar UPNM adalah berasaskan Pedang Zulfaqar yang pernah dipakai oleh Nabi Muhammad S.A.W dan menantunya Sayyidina Ali bin Abi Talib Karramullah Wajha. Panjang pedang ini ialah 5 kaki dan diperbuat daripada logam perak dengan campuran besi serta bersalut emas. Petikan Al-Quran dari surah Al-Anfal ayat 60 turut ditatahkan pada pedang ini.
Bahagian hujung sarung pedang pula dihiasi dengan batu manikam (Topaz) berwarna Kuning Diraja khusus bagi melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Ini diikuti dengan batu delima (Ruby) yang memancarkan cahaya warna merah cili bagi melambangkan Angkatan Tentera Darat Malaysia. Warna bagi mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia dilambangkan pada batu nilam (Sapphire) berwarna biru tua sementara batu nilam (Sapphire) berwarna biru laut dilekatkan berhampiran bahagian paling atas pedang sebagai melambangkan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Logo universiti yang diperbuat daripada emas tulen dilekatkan pada bahagian tengah hulu pedang.
Jalaran motif daun sireh dan bunga raya menyaluti sebahagian besar sarung pedang yang memancarkan maksud kehalusan budi Melayu yang terus dipertahankan di universiti ini.
Sesungguhnya paduan bilah pedang, ayat daripada Al-Quran dan kilauan batu-batu galian bernilai tinggi adalah manifestasi paduan falsafah ilmu yang tinggi dan hadirnya semangat juang yang tidak akan pernah luntur dalam kalangan warga universiti.
Cokmar UPNM - Pedang Zulfaqar
- Details
- Bil. Capaian: 12021