Hari ini wanita telah menzahirkan kehebatan mereka dalam menempa kejayaan sendiri dan mereka juga berdiri di belakang kejayaan seorang lelaki. Bagi mengabadikan pengorbanan wanita, maka pada 8 Mac setiap tahun, tarikh keramat ini diangkat menjadi hari istimewa buat semua wanita di seluruh dunia. Ini bertepatan dengan pengiktirafan Hari Wanita Antarabangsa dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1977 lagi. Selain itu PBB juga menerima Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Malaysia juga mengambil keputusan untuk menandatangani Perjanjian CEDAW pada tahun 1995.
Tahun 2022, ‘Saksama Bersama’ atau ‘Break the Bias’ telah dipilih menjadi tema Hari Wanita yang juga sinonim dengan matlamat yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKM 2030) iaitu meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat tentang peri pentingnya mencapai kesaksamaan jantina di Malaysia. Ini juga dapat memastikan potensi kaum hawa dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan Malaysia yang mampan. Tema ini juga selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu ‘Gender Quality Today for a Sustainable Tomorrow.’
Di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) amnya dan di Pejabat Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan Industri & Perhubungan Korporat (PNC PJIPK) khasnya, Hari Wanita telah disambut dengan meriah. Bertemakan warna Ungu, warga PJIPK mengadakan beberapa aktiviti sebagai pengisian sambutan Hari Wanita 2022. Acara dimulakan dengan sesi webinar Sempena Hari Wanita Sedunia - Saksama Bersama : Pandangan Akademia. Sesi webinar ini telah dipancarkan melalui FB Live UPNM. Sesi ini dihoskan oleh Prof. Madya Ts. Noor Afiza binti Mat Razali manakala ahli panel terdiri daripada Dr. Azura binti Yahaya, Ts. Dr. Nur Diyana binti Kamarudin dan Kdr Ts. Dr. Haliza binti Mohd Zahari TLDM. Selesai sesi webinar, warga PJIPK telah mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat dan diakhiri dengan sesi fotografi dalam kalangan pegawai dan kakitangan wanita PJIPK sempena ‘Sambutan Hari Wanita 2020 : UPNM OOTD Challenge’ anjuran Pejabat Pendaftar. Majlis diakhiri dengan jamuan di mana warga PJIPK membawa menu istimewa masing-masing.
Terdahulu YBhg. Let Jen Datuk Naib Canselor telah meraikan wakil-wakil staf wanita dari FPJB dalam Majlis Sarapan Pagi di Canselori.