16 Ogos 2024 - Pusat Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat serta Pusat Keselamatan Siber telah menganjurkan Minggu Konsultansi bermula 12 hingga 16 Ogos 2024, sebagai usaha untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Peperangan Elektronik di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
 
Encik Christo Van Der Merwe, Research Group Leader EW Test and Evaluation Systems dari Council for Scientific and Industrial Research (CSIR), Afrika Selatan, telah hadir di UPNM bagi memberikan bantuan dan nasihat teknikal dalam konsultansi penubuhan pusat kecemerlangan tersebut. Kehadiran beliau disambut mesra oleh Prof. Ts. Dr. Hj. Azizi bin Hj. Miskon, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Mejar Jeneral Dato’ Dr. Kwong Fook Wen (Bersara), Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat), Kol Prof. Dr. Khairol Amali bin Ahmad (Bersara), Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bersama tim UPNM yang terlibat secara langsung dalam projek ini.
 
Minggu Konsultansi ini merupakan sebahagian daripada manfaat yang diterima dalam Program Kolaborasi Industri antara Syarikat Denel SOC Ltd dan UPNM. Turut hadir Madam Sureiya Adam daripada Syarikat Denel SOC Ltd.