Pada 9 Mac 2022 (Rabu), Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (PNC PJIPK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama pegawai-pegawai PJIPK telah membuat kunjungan hormat ke National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Bandar Baru Bangi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya dan Unit Komunikasi Strategik (UKS) Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur bagi membincangkan dan menjemput wakil-wakil untuk mengambil bahagian dalam program Pocket Talk: Women in Peace and Security sempena Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) 2022.
Dalam pertemuan bersama NIOSH, mereka telah memberi kesungguhan untuk menyertai Pocket Talk di samping berkolaborasi bersama UPNM dalam merakyatkan pengetahuan dalam bidang-bidang berkaitan keselamatan. Kursus-kursus pendek berfokus termasuklah anti-rasuah, persekitaran pekerjaan, keselamatan tempat kerja juga ditawarkan kepada staf UPNM dan semua pelajar untuk nilai tambah dalam memperkasa kompetensi kemahiran. Turut hadir dalam pertemuan adalah Tuan Haji Ayob Salleh, Pengarah Eksekutif NIOSH, Puan Noorliza Idawati Mat Nayan dan Encik Mohd Hussin Abd Salam.
Sementara itu, pihak KPWKM juga memberi komitmen untuk terus mengambil bahagian dan berkerjasama dengan UPNM bagi merakyatkan pengetahuan dalam aspek pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Malaysia. Turut hadir dalam pertemuan adalah YBrs Dr Hishamuddin Mohd Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM.
Pertemuan bersama UKS juga memberi impak positif bagi kedua-dua pihak bagi membincangkan kolaborasi dalam membuat liputan media sepanjang Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) 2022 yang akan berlangsung pada 28 hingga 31 Mac 2022. Turut hadir dalam pertemuan adalah Puan Adreena Abdul Majid, Ketua Komunikasi Strategik, Encik Saiful Nizam Mansor, Timbalan Ketua Komunikasi Strategik dan Lt Kol Zuhairy Limat, Ketua Seksyen Perhubungan.