16 April 2025 | Kuala Lumpur - Satu sesi pembentangan dan perbincangan telah diadakan antara delegasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama syarikat Elitery dan Amazon Web Services (AWS) Malaysia Sdn. Bhd. Tujuan perbincangan ini adalah untuk meninjau dan meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Pengkomputeran Awan (Cloud Computing), Integriti Data dan lain-lain bidang teknologi berkaitan.

Delegasi UPNM telah diketuai oleh Mej Jen Dato’ Dr. Kwong Fook Wen (Bersara), bersama Dr. Sharifah Bahiyah Rahayu, Pengarah Pusat Keselamatan Siber dan Revolusi Industri Digital (PKSRID), Prof. Dr. Mohd Nazri bin Ismail, Ketua Jabatan Keselamatan Sistem dan Komunikasi, serta beberapa orang pensyarah kanan universiti.

Pihak Elitery pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Kresna Adiprawira, manakala AWS Malaysia Sdn. Bhd. diwakili oleh En. Zahrin Abu Bakar, Pengurus Akaun Rakan Strategik Kanan (Senior Partner Account Manager).

Sesi ini membuka ruang kepada perbincangan yang konstruktif ke arah kolaborasi dalam pembangunan teknologi dan inovasi yang boleh dimanfaatkan bersama, khususnya dalam sektor pendidikan tinggi dan pertahanan negara.