17 Disember 2024 | UPNM - DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd (DSA) telah mengumumkan komitmen besar sebanyak RM400,000.00 kepada UPNM dengan menubuhkan tabung biasiswa yang dikenali sebagai DSA Scholarship Funds, didedikasikan kepada anak-anak anggota yang sedang berkhidmat dan yang telah bersara dari ATM dan PDRM yang sedang melanjutkan pengajian di UPNM. Sumbangan dana ini oleh pihak DSA adalah seiring dengan komitmen UPNM dalam bidang pertahanan dan keselamatan. Dana ini akan dibayar sebanyak RM100,000.00 setiap dua (2) tahun sekali atau pada tahun yang berlangsungnya pameran DSA dan NATSEC Asia sehingga tahun 2030, mensasarkan pelajar UPNM yang cemerlang dengan merit akademik yang luar biasa dan keperluan kewangan.

 
Perjanjian ini tadi telah ditandatangani oleh YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM, dan Datuk Azzat Kamaludin, Pengarah DSA. Majlis tersebut turut dihadiri Encik Nadzeem Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif DSA serta barisan pengurusan tertinggi UPNM.
 
Kerjasama ini mula diumumkan semasa Majlis Thank You Reception and Announcement of DSA & NATSEC Asia 2026 awal tahun ini di MITEC Kuala Lumpur. Pihak DSA telah menyerahkan simbolik cek bernilai RM100,000.00 kepada UPNM sebagai sokongan kepada inisiatif ini yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan Menteri dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail.