17 Ogos 2024 – Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) telah menganjurkan Malam Alumni Universiti Awam (MAL 24) bertempat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur yang menghimpunkan alumni seluruh Universiti Awam (UA).
 
Penganjuran ini memberi pengiktirafan dan meraikan alumni yang cemerlang dalam kerjaya dan sumbangan kepada alma meter. Tiga kategori anugerah telah disampaikan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi iaitu Anugerah Ikon Alumni, Anugerah Alumni Kedermawanan dan Anugerah Alumni Muda Harapan. Alumni UPNM diberi pengiktirafan Anugerah Alumni Muda Harapan yang disandang oleh Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra bin Mohd Yusof, Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre yang merupakan alumni UPNM tahun 2012 dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia.
 
Himpunan ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan bantuan dari Persatuan Alumni UPNM, Persatuan Alumni Chapter Sabah, dan Persatuan Alumni Intake 2007 yang telah menyumbang dana dan terlibat secara langsung penganjuran kali ini. Syabas, tahniah dan terima kasih kepada semua Alumni UPNM yang tidak putus-putus menyokong alma meter anda.