PUTRAJAYA, 13 Januari 2026 – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu bagi pelaksanaan Projek Sistem Tenaga Solar di kampusnya, sekali gus menjimatkan kos bil elektrik tahunan sekitar RM1.3 juta.
 
Perjanjian tersebut dimeterai antara UPNM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Synergy Generated Sdn. Bhd. dalam satu majlis di Putrajaya, melibatkan pembangunan sistem tenaga solar di beberapa lokasi strategik kampus bagi tempoh 21 tahun.
 
Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad berkata, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kos operasi universiti, malah memperkukuh daya tahan institusi selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM30 dan agenda keselamatan tenaga negara.
 

 
Selain penjimatan kos, projek ini turut menyediakan dana penyelidikan RM50,000 setahun, peluang latihan industri kepada pelajar serta pendedahan teknologi tenaga boleh baharu kepada staf universiti.
 
UPNM yakin projek ini mampu menjadi model rujukan kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam mengimbangi keperluan ekonomi, kelestarian dan pembangunan modal insan.