'KUALITI PEMANGKIN KECEMERLANGAN'

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

International Organisation for Standardization (ISO) yang bermula pada tahun 1946 bertujuan  mewujudkan piawaian yang dirujuk dan diguna pakai dalam aktiviti perdagangan, komunikasi dan pembuatan. Kewujudan piawaian ini dapat menghubungkan komuniti global yang tanpanya adalah sukar untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kehidupan dan ekonomi. ISO diwujudkan secara generik tanpa memfokuskan kepada sebarang proses khusus. Maka piawaian tersebut boleh diguna pakai di sebarang organisasi, besar atau kecil, tidak mengira produk atau perkhidmatan dalam apa juga sektor.

Piawaian Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) Siri ISO 9000 telah mula diperkenalkan pada tahun 1987. Piawaian ini dikenali kerana cirinya yang melayakkan organisasi untuk diberi pensijilan oleh agensi pengiktirafan mengikut skop ISO 9001, 9002 dan 9003. Satu lagi ciri pentingnya adalah penekanan kepada 20 klausa yang perlu didokumenkan dan dipatuhi. Ia juga amat mudah difahami dan diaplikasikan. Jawatankuasa teknikal ISO bertanggungjawab membuat pembaikan ke atas sistem kualiti ini bagi setiap lima tahun. Maka, piawaian pertama yang dikeluarkan pada tahun 1987 telah pun mengalami pembaikan dan diterbitkan semula pada Ogos 1994. Dalam usaha berterusan memperkemaskan piawaian tersebut ianya terus disemak dan diperbaiki. Lanjutan dari itu, piawaian ISO bermula dengan ISO 9000:2000, mengambil sempena tahun ianya mula diterima pakai iaitu pada tahun 2000 dan piawaian yang terkini pula dikenali sebagai ISO 9001:2008. Sehingga kini, ISO versi baharu telah dilancarkan iaitu versi 2015 yang mempunyai 10 klausa dengan penekanan terhadap aspek pengurusan risiko bagi pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) di dalam organisasi.

 

Sekian, Terima Kasih.
 
 
 

 
PROF. DR. HJ. HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED
Pengarah
Bahagian Jaminan Kualiti dan Pengurusan Data
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia