23 OGOS 2025 | SENDAYAN: Satu lagi sejarah tercipta apabila UPNM memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) sempena Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai MILDEF yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Pertukaran MoU ini disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad dan Pengarah Urusan MILDEF, YBhg. Dato’ Sri Mohd Nizam bin Kasa sambil disaksikan oleh YAB Perdana Menteri. Kerjasama strategik ini bakal merangkumi latihan teknikal dan profesional, pembangunan modul akademik, penyelidikan bersama dalam mobiliti taktikal serta armor, peluang latihan industri pelajar UPNM di fasiliti MILDEF dan penubuhan Pusat Penyelidikan Bersama MILDEF-UPNM sebagai hab inovasi pertahanan.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Naib Canselor menegaskan, “Ini bukan sekadar dokumen, tetapi simbol penyatuan antara akademia dan industri untuk memperkukuh pertahanan negara melalui ilmu, inovasi dan pembangunan modal insan.”
Kolaborasi ini menyokong Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta aspirasi UPNM30 bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, tetapi turut memperkasa akademia melalui penyelidikan, penerbitan berimpak global dan pemindahan teknologi strategik bersama industri.
Dengan gabungan kekuatan ilmu akademik dan pengalaman industri, UPNM dan MILDEF kini bergerak seiring membina ekosistem pertahanan negara yang lebih berdaya saing, inovatif dan berpandangan jauh di pentas global.