25 JUN 2025 | UPNM: UPNM hari ini meraikan seramai 161 warga universiti dalam Hari Inovasi dan Majlis Anugerah (HIMA) 2025 berteraskan tema “UPNM30 Memacu Kesarjanaan Berinovasi”.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Azman bin Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang turut merakamkan penghargaan terhadap pencapaian warga UPNM. “Inovasi tidak lahir daripada zon selesa, tetapi daripada keberanian yang mencabar batas pemikiran. Warga UPNM perlulah berfikiran kreatif dan berani berinovasi demi memajukan universiti ini,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.


Antara anugerah utama yang disampaikan termasuk 86 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 31 penerima Anugerah Akademik Cemerlang (AAC), 39 penerima Anugerah Hari Inovasi (AHI) dan 6 FPJB menerima 5 bintang Penarafan QMSR Tahun 2024.
Puan Fazielah binti Mohamad, Pendaftar diumumkan sebagai pemenang anugerah utama iaitu Anugerah Khas Kualiti Pengerusi LPU. Anugerah Tokoh Akademik Universiti dimenangi oleh Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan bin Yahya, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP). Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) pula diumumkan sebagai penerima utama QSMR 2024 dengan markah tertinggi sebanyak 97%.


Dalam ucapan Naib Canselor, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad menegaskan bahawa HIMA bukan sekadar pengiktirafan simbolik, tetapi satu medan mengangkat pencapaian warga sebagai pemacu budaya prestasi tinggi dalam ekosistem universiti. “Kejayaan yang diraikan bersama ini akan terus menjadi pemangkin dalam kita menuju UPNM30. Kesarjanaan adalah komitmen seumur hidup yang menuntut ilmu, nilai dan tindakan yang berasaskan integriti dan impak,” katanya.
HIMA 2025 turut dihadiri ahli LPU, pengurusan tertinggi serta warga universiti yang bersama menjunjung nilai kesarjanaan dan inovasi menuju UPNM30. UPNM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Semoga kemenangan ini memberi inspirasi untuk lebih berjaya di masa akan datang demi UPNM.

