Penubuhan Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI) menjadi titik tolak dalam membina persekitaran penyelidikan yang kondusif di universiti ini. Peranan PPPI termasuklah menggubal dasar dan garis panduan penyelidikan, membantu penyelidik dalam memperkasa keupayaan penyelidikan mereka, mendapatkan dana penyelidikan serta mengurus dana tersebut secara cekap dan berkesan. Peranan pentadbiran yang lain termasuk juga berkomunikasi dengan agensi luar (seperti KPT, MOSTI dan lain-lain) dalam isu-isu yang berkait dengan pembiayaan dana penyelidikan, pemantauan kemajuan penyelidikan secara berkala dan hal-hal lain yang dapat melicinkan perjalanan agenda penyelidikan di UPNM.

Kesemua peranan dan objektif ini merupakan sebahagian daripada "Pelan Strategik bagi Penyelidikan dan Inovasi" di UPNM. Pelan strategik ini akan digunapakai sebagai rujukan dalam usaha kearah mencapai kecemerlangan penyelidikan. Dengan keazaman dan iltizam serta usaha yang berterusan oleh semua pihak, UPNM akan berjaya mencapai impiannya iaitu untuk menjadi sebuah institusi terkemuka dalam bidang penyelidikan "Pertahanan dan Keselamatan", bukan sahaja diperingkat negara malahan juga diperingkat serantau dan antarabangsa.