17 MAC 2026 | SELANGOR: Dalam landskap pendidikan yang terus berkembang, keupayaan institusi untuk berkolaborasi menjadi pemangkin utama dalam memenuhi keperluan masa hadapan negara.
 
UPNM hari ini melangkah setapak ke hadapan apabila memeterai MoU serta NDA bersama MAHSA University bertempat di kampus utama universiti tersebut di Bandar Saujana Putra. MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, manakala MAHSA University diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah.
 
 
 
Kerjasama ini bukan sekadar pertukaran dokumen, tetapi mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan Program Diploma Kejururawatan yang bakal membuka laluan kepada lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang kesihatan secara profesional dan berstruktur. Di sebalik inisiatif ini, terselit aspirasi yang lebih besar memperkukuh kapasiti tenaga kerja kesihatan negara yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga berintegriti serta berjiwa khidmat.
 
Sebagai Projek Khas UPNM30 di bawah Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategi), program ini turut memberi fokus kepada peluasan akses pendidikan, khususnya kepada pelajar berpotensi termasuk daripada golongan B40. Kerana akhirnya, yang ingin dibina bukan sekadar graduan, tetapi insan yang akan berada di barisan hadapan, menyentuh kehidupan manusia.
 
Inilah bagaimana UPNM30 diterjemahkan daripada strategi kepada peluang dan akhirnya kepada khidmat untuk negara.