-
Details
-
Bil. Capaian: 14422

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.
Syukur ke hadrat Allah SWT, dengan penuh rasa syukur saya berbesar hati untuk berkongsi langkah besar kita ke hadapan. Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) UPNM memainkan peranan kritikal sebagai tunjang utama dalam memacu transformasi digital universiti. Dengan perkembangan teknologi yang pesat, fungsi BTMK bukan lagi sekadar sokongan, malah menjadi nadi kepada operasi dan hala tuju strategik universiti.
Seperti yang kita semua sedia maklum, pendigitalan bukanlah lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak dalam landskap pendidikan moden. Pelan Strategik Pendigitalan (2024-2030) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bukan sekadar dokumen, tetapi lambang komitmen kolektif kita terhadap transformasi digital universiti, selaras dengan aspirasi UPNM30 yang ingin kita capai bersama.
Pelan strategik ini merupakan hasil usaha dan perancangan teliti yang melibatkan seluruh warga UPNM, dengan satu matlamat jelas: untuk melonjakkan UPNM sebagai peneraju dalam pendidikan tinggi yang berdaya saing dan berinovasi di era digital, berfokus kepada keselamatan dan pertahanan. Ia mencakupi inisiatif penting yang akan memperkasa infrastruktur digital kita, memantapkan sistem maklumat, dan menjadikan proses pengajaran serta pembelajaran lebih interaktif dan berkesan. Ini secara langsung menyokong komponen kesarjanaan UPNM30, di mana teknologi akan menjadi pemangkin untuk melahirkan graduan yang kompeten dan berpengetahuan tinggi.
Saya berharap agar semua warga UPNM untuk sama-sama berganding bahu meningkatkan budaya digital dalam membentuk masa depan universiti yang lebih gemilang, mencapai setiap aspirasi UPNM30.
Penghargaan tertinggi saya rakamkan kepada YBhg. Naib Canselor UPNM, Pengurusan Tertinggi Universiti, Ketua Pegawai Digital serta seluruh warga UPNM yang telah memberikan sokongan dalam peningkatan tadbir urus digital universiti. Semoga pendigitalan kampus UPNM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, dan menjadi asas kukuh kepada kecemerlangan UPNM di masa hadapan.
Sekian, terima kasih.
Ts. FARAHZEEDA BINTI ZAKARIA
Ketua Pegawai Teknologi Maklumat
Merangkap Menjalankan Tugas Pengarah
Bahagian Tenologi Maklumat dan Komunikasi