Pameran Penyelidikan sempena

Lawatan Ulung Menteri Kanan Pertahanan

ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

 

Pada 5 Mac 2021 YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan telah membuat Lawatan Ulung ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).Turut hadir pada lawatan ini adalah Tan Sri (Dr.) Syed Azman bin Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera, Dato’ Seri Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan Malaysia, Lt. Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM serta Dr. Mohd Zabri bin Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi.

 

Pada lawatan ini YB Menteri telah diberikan taklimat mengenai peranan dan aktiviti utama universiti serta perhubungan strategik UPNM dengan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). UPNM memainkan peranan yang cukup besar, bukan sahaja dalam melahirkan bakal Pegawai Tentera yang akan menyertai ATM bahkan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan profesionalisma pegawai-pegawai ATM yang sedang berkhidmat melalui program-program akademik pasca siswazah dan eksekutif.

 

Dalam aspek penyelidikan, UPNM sedang menjalankan penyelidikan bersama dengan Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), sebuah organisasi penyelidikan di bawah Kementerian Pertahanan serta dengan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. UPNM juga sedang menjalankan projek-projek rundingan bagi Kementerian Pertahanan.

 

Sempena lawatan ini, YB Menteri Kanan Pertahanan turut dibawa melawat ke simulator kapal yang moden dan canggih serta meninjau hasil penyelidikan oleh para penyelidik universiti yang sedia untuk dikomersialkan. UPNM akan terus meneroka peluang kolaborasi dengan Kementerian Pertahanan dan ATM dalam usaha pembangunan kapasiti serta peluang penyelidikan lain pada masa-masa akan datang.