Fungsi dan peranan Penerbit UPNM adalah seperti berikut:

Sebagai Agensi Penerbitan Ilmiah

Penerbit UPNM berfungsi sebagai agensi setempat dalam menguruskan keseluruhan proses penerbitan ilmiah, bermula daripada penerimaan manuskrip, semakan, penyuntingan, dan penyusunan atur teks, sehingga ke penerbitan salinan master. Proses ini turut melibatkan penilaian karya oleh pakar bidang, reka bentuk naskhah dan grafik, penterjemahan, adaptasi teks, pendaftaran ISBN/ISSN/PDP, serta urusan percetakan dan pengedaran karya ilmiah dan penyelidikan.

Menganjurkan Aktiviti Latihan dan Pengembangan Profesional

Penerbit UPNM turut bertanggungjawab dalam menyelaras dan menganjurkan program latihan, seminar, kursus, dan klinik yang berkaitan dengan penerbitan. Aktiviti ini meliputi penyuntingan, penterjemahan, bengkel karya asli, penulisan makalah jurnal, bengkel pruf, serta klinik perundingan penerbitan karya ilmiah, yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para akademik dan penyelidik.

Pengumpulan dan Penyebaran Maklumat Penerbitan

Penerbit UPNM juga berperanan dalam mengumpul, menyebarkan, dan menerbitkan maklumat mengenai pelbagai aspek penerbitan. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai proses penerbitan dalam kalangan penulis dan penyelidik, serta memperluas capaian ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat akademik.

Pengurusan dan Penyeliaan Aktiviti Akademik

Selain itu, Penerbit UPNM turut membantu dalam mengurus dan menyelia pelbagai aktiviti akademik yang berkaitan dengan penerbitan, termasuk Majlis Syarahan Perdana, persidangan, dan acara-acara akademik lain yang melibatkan penerbitan karya ilmiah, bagi memastikan penyebaran ilmu dan pemikiran akademik yang berkualiti.