22 APRIL 2025 | KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali lagi memperolehi pengiktirafan secara rasmi sebagai salah sebuah universiti pilihan majikan 2025 berdasarkan Indeks Kebolehkerjaan Siswazah Nasional (Indeks GE) Talentbank 2025 (Penarafan 6 Bintang).
Anugerah “Employers’ Choice Award 2025” berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud kepada YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Naib Canselor UPNM dalam majlis penyampaian anugerah Employers’ Choice Award Talenbank 2025 yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur hari ini.
Kejayaan ini selaras dengan pencapaian gemilang UPNM mengekalkan peratusan tertinggi Kadar Kebolehpasaran Graduan iaitu 99% dan Kadar Bekerja Graduan 99.1%. Pengiktirafan terhadap kebolehpasaran graduan UPNM membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan holistik yang merangkumi aspek akademik, kepimpinan, disiplin dan kemahiran insaniah, sekali gus mencerminkan keupayaan UPNM dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan negara yang berkualiti dan berintegriti. Tahniah dan Syabas UPNM.
