CHEMDEF merupakan satu pusat kecemerlangan penyelidikan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang mempunyai tumpuan terhadap aktiviti pertahanan terhadap agen senjata kimia dan bahan kimia berbahaya. Aktiviti penyelidikan di CHEMDEF adalah sejajar dengan peruntukan di bawah Article X Chemical Weapons Convention – Assistance and Protection Against Chemical Weapons dan kini melibatkan penyelidikan berkaitan sensor pengesanan agen kimia berbahaya, bahan komponen kaedah perlindungan seperti penapis udara dan air, bahan pelengai dalam sistem penyahcemar (dekontaminasi) agen senjata kimia dan bahan antidot untuk menangani kesan agen kimia berbahaya. Selain itu CHEMDEF turut memudahcara penyelidikan dalam bidang pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRN) di peringkat UPNM. Sehubungan dengan itu, CHEMDEF turut menjalinkan perhubungan baik dengan lain-lain agensi penyelidikan dan pengawalan kebangsaan dalam bidang pertahanan CBRN di Malaysia.

 

CHEMDEF mengalu-alukan penyelidik yang berminat dalam bidang ini untuk bekerjasama dalam membangunkan usaha penyelidikan dalam bidang CBRN demi mengukuhkan kerjasama dan jaringan maklumat dalam bidang ini diserantau.  CHEMDEF mempunyai keupayaan makmal tertentu dalam bidang penyelidikan ini dan sentiasa berusaha membangunkan kemudahan penyelidikan yang bersesuaian bagi membolehkan penyelidikan pertahanan terhadap ancaman ini terus maju serta mampu mengukuhkan tahap perlindungan kebangsaan dari ancaman ini agar sentiasa terpelihara dan berdaya maju.