2 JULAI 2025 | PUTRAJAYA: YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Naib Canselor UPNM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Prof. Datuk Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pagi tadi.
Kunjungan ini disusuli dengan sesi perbincangan bersama KPT dan delegasi UPNM yang memfokuskan kepada aspek governans dan laluan kerjaya akademik selaras dengan hala tuju UPNM30.
Kerjasama strategik bersama KPT ini amat penting dalam memperkukuh ekosistem tadbir urus pendidikan tinggi yang mampan, dinamik dan berimpak tinggi. Turut hadir daripada JPT ialah Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) dan Encik Izamael Zamzuri bin Ismail, Pengarah Bahagian Governan IPTA.
30 JUN 2025 | UPNM: YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Naib Canselor UPNM telah mengadakan lawatan rasmi ke Fakulti Kejuruteraan (FKJ) sebagai sebahagian daripada pendekatan mendekati fakulti dalam menyokong pelaksanaan strategi UPNM30 khususnya teras Kesarjanaan dan Pusat Kecemerlangan.
Lawatan dimulakan dengan sesi pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Taufik bin Jusoh @ Tajudin, Dekan FKJ berkenaan pencapaian, cabaran dan perancangan masa depan fakulti. YBhg. Naib Canselor turut berkongsi pandangan dan sokongan terhadap usaha fakulti memperkukuh penyelidikan, inovasi dan keupayaan tenaga akademik.
Sesi diteruskan dengan townhall bersama staf, ruang interaktif yang membolehkan suara warga FKJ didengari secara langsung selari dengan aspirasi UPNM30 untuk membina tadbir urus yang responsif dan inklusif.
Lawatan akan disambung semula esok ke beberapa makmal bagi meninjau kemudahan, projek penyelidikan serta potensi kolaborasi masa depan.
Lawatan ini mencerminkan iltizam kepimpinan universiti dalam memperkasakan fakulti sebagai pusat rujukan dalam bidang kejuruteraan pertahanan.
20 JUN 2025 | UPNM: Majlis Anugerah Kecemerlangan Badan Pelajar (AKBP) Sesi 2024/2025 berlangsung penuh gemilang di Dewan Zulfaqar malam tadi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mahasiswa dalam memimpin, mengurus dan menjayakan budaya organisasi kampus yang berimpak.
Bertemakan “Mahasiswa Pewaris Tradisi, Teras Kecemerlangan Universiti”, majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad yang menegaskan:
“Saya yakin, dengan falsafah HELANG yang kita bawa, Holistik, Etika, Legasi, Adaptasi, Naratif dan Gagasan, kita mampu mengangkat UPNM ke persada antarabangsa. Dan mahasiswa, seperti anda semua di AKBP malam ini, adalah watak penting dalam mencorakkan sejarah itu.”
Tahniah Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) atas penerimaan Anugerah Bitara Badan Pelajar AKBP 2025 serta semua badan pelajar lain yang diiktiraf atas kepimpinan dan semangat kesukarelawanan.
AKBP bukan sekadar majlis penghargaan, ia adalah simbol kepercayaan UPNM terhadap mahasiswa sebagai pemikir dan pelaksana dalam menjayakan misi UPNM30.
25 JUN 2025 | UPNM: UPNM hari ini meraikan seramai 161 warga universiti dalam Hari Inovasi dan Majlis Anugerah (HIMA) 2025 berteraskan tema “UPNM30 Memacu Kesarjanaan Berinovasi”.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Azman bin Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang turut merakamkan penghargaan terhadap pencapaian warga UPNM. “Inovasi tidak lahir daripada zon selesa, tetapi daripada keberanian yang mencabar batas pemikiran. Warga UPNM perlulah berfikiran kreatif dan berani berinovasi demi memajukan universiti ini,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Antara anugerah utama yang disampaikan termasuk 86 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 31 penerima Anugerah Akademik Cemerlang (AAC), 39 penerima Anugerah Hari Inovasi (AHI) dan 6 FPJB menerima 5 bintang Penarafan QMSR Tahun 2024.
Puan Fazielah binti Mohamad, Pendaftar diumumkan sebagai pemenang anugerah utama iaitu Anugerah Khas Kualiti Pengerusi LPU. Anugerah Tokoh Akademik Universiti dimenangi oleh Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan bin Yahya, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP). Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) pula diumumkan sebagai penerima utama QSMR 2024 dengan markah tertinggi sebanyak 97%.
Dalam ucapan Naib Canselor, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad menegaskan bahawa HIMA bukan sekadar pengiktirafan simbolik, tetapi satu medan mengangkat pencapaian warga sebagai pemacu budaya prestasi tinggi dalam ekosistem universiti. “Kejayaan yang diraikan bersama ini akan terus menjadi pemangkin dalam kita menuju UPNM30. Kesarjanaan adalah komitmen seumur hidup yang menuntut ilmu, nilai dan tindakan yang berasaskan integriti dan impak,” katanya.
HIMA 2025 turut dihadiri ahli LPU, pengurusan tertinggi serta warga universiti yang bersama menjunjung nilai kesarjanaan dan inovasi menuju UPNM30. UPNM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Semoga kemenangan ini memberi inspirasi untuk lebih berjaya di masa akan datang demi UPNM.
20 JUN 2025 | UPNM: Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah menjayakan Larian Amal PPW 2025 petang tadi di Pavilion UPNM! Pelepasan disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad. Suasana penuh semangat dan solidariti ini bukan sahaja menyatukan warga UPNM, malah memperkukuh budaya sihat dan prihatin dalam kalangan komuniti kampus.
Terima kasih kepada penganjur dan semua yang terlibat. Jersey eksklusif, semangat luar biasa, ini baru #UPNMStyle!
Nak capai UPNM30, badan pun kena cergas, mental pun kena kuat!