SUNGAI BESI, 8 Januari 2025 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan jayanya telah menganjurkan Career Fair & Internship Day UPNM 2025 yang berlangsung di Dewan Pendekar, UPNM. Karnival ini bertujuan untuk memperkasa kebolehpasaran graduan UPNM dengan membuka peluang kerjaya dan latihan industri kepada lebih 1,000 mahasiswa dan graduan daripada pelbagai fakulti. Karnival kerjaya ini merupakan inisiatif berterusan UPNM untuk menggerakkan usaha memastikan tahap kebolehpasaran (Graduate Employability – G.E) tertinggi dalam kalangan universiti tempatan.

Karnival ini memainkan peranan penting yang menghubungkan mahasiswa dengan pelbagai industri terkemuka serta membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan penempatan latihan industri dan peluang pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian. Lebih menarik, pengunjung dapat berinteraksi secara langsung dengan wakil industri, memberikan mereka kelebihan dalam memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan. Kerjasama strategik UPNM dengan gergasi industri seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp, Kemalak Marine, JobStreet, RHB Bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat-syarikat terkemuka lain telah memberi nilai tambah kepada karnival ini. Sebanyak 40 syarikat dan agensi seperti AmBank, Parkson, Radicare, Auraplex, Boustead Petroleum dan United Malayan Land turut hadir dengan menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan dan latihan industri dalam pelbagai sektor. Majlis ini turut diserikan dengan pelantikan rasmi wakil pelajar UPNM sebagai UPNM MyNext Campus Ambassador TalentCorp dan UPNM JobStreet Career Ambassador sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan industri-universiti serta membuka lebih banyak laluan kolaborasi pada masa hadapan.

Pada kali ini juga, turut diberikan penghargaan melalui penyampaian Sijil Pengiktirafan Pencapaian Kebolehpasaran Graduan (G.E) kepada fakulti dan pusat pengajian yang memperoleh pencapaian 90% ke atas kebolehpasaran graduan (G.E) pada tahun 2023, yang disempurnakan oleh Kol Prof. Dr. Khairol Amali bin Ahmad (B), Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni), Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPNM. Turut sama dalam majlis ialah Naib Canselor, YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, yang singgah beramah mesra bersama pelajar dan wakil industri. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UPNM dalam mempersiapkan graduan bukan sahaja dengan ilmu akademik, tetapi juga dengan kemahiran dan pengalaman praktikal yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Antara tarikan lain program ini adalah kaunter semakan resume, booth kaunseling kerjaya, mini games oleh PERKESO, minuman dan ais krim secara percuma yang diadakan untuk mahasiswa yang berkunjung. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang ini dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang ditaja oleh pelbagai industri yang hadir. Dengan pelbagai inisiatif ini, UPNM terus mengorak langkah sebagai sebuah institusi yang komited untuk melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Jelasnya, Career Fair & Internship Day UPNM 2025 bukan sahaja berjaya sebagai platform pencarian kerjaya, malah menjadi satu langkah signifikan dalam memastikan graduan UPNM lebih bersedia dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.