8 MEI 2025 | UPNM: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) - UPNM Siri ke-14 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat telah dipengerusikan bersama oleh YBhg. Mej Jen Dato’ Dr. Kwong Fook Wen (Bersara), Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat), UPNM dan YBhg. Mej Jen Dato’ Indera Zahari bin Mohd Ariffin, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, ATM.
 
Sebelum mesyuarat berlangsung, YBhg. Mej Jen Dato’ Indera Zahari telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad. Dalam pertemuan ringkas tersebut, kedua-dua pihak menekankan kepentingan kesinambungan kerjasama strategik UPNM - ATM.
 

 
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor UPNM, yang menekankan komitmen universiti dalam memperkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan ilmu pertahanan dan keselamatan. Beliau turut menyambut baik usaha ATM dalam memperkukuh jaringan kerjasama yang sedia terjalin dan menyeru agar lebih banyak inisiatif bersama dilaksanakan.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama ini menjadi platform penting yang berperanan sebagai jambatan strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala antara UPNM dan ATM. Ia memberi fokus kepada pembangunan kerjasama dalam pelbagai aspek, termasuk jaringan industri, penyelidikan, latihan pertahanan, dan pembangunan modal insan dalam konteks keselamatan dan pertahanan negara.
 
Kerjasama erat ini turut menyokong misi UPNM sebagai institusi pendidikan tinggi bertunjangkan pertahanan yang unik di Malaysia, serta memperkukuh peranan ATM dalam pembangunan sumber manusia yang kompeten dan berdaya saing dalam sektor ketenteraan dan keselamatan negara.