16 Mei 2025 | UPNM: UPNM hari ini melakar sejarah penting apabila Naib Canselor baharunya, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad menyampaikan Perutusan Ulung Naib Canselor sempena 100 hari pelantikan beliau bertempat di Dewan Zulfaqar.
 
Dalam perutusan yang penuh iltizam itu, beliau telah mengumumkan pelan strategik jangka panjang UPNM30 sebagai kerangka pembangunan universiti menjelang tahun 2030. Pelan ini bertujuan memperkukuh kedudukan UPNM sebagai institusi primier dalam aspek ketenteraan, pertahanan dan keselamatan yang unggul dan berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa.
 

 

Empat Teras Strategik UPNM30 yang diakronimkan kepada KP²T digariskan dalam pelan strategik ini merangkumi Kesarjanaan, iaitu memperkasa aspek akademik dan pembangunan pelajar secara holistik; Pusat Kecemerlangan yang menumpukan kepada usaha memperkukuh kedudukan universiti sebagai pusat rujukan strategik dalam bidang pertahanan, keselamatan dan sukan; Penjanaan yang bertujuan mengoptimumkan sumber melalui model kewangan yang lestari; serta Tadbir Urus yang menekankan pelaksanaan governan yang efisien, berteraskan prinsip integriti dan akauntabiliti bagi memastikan pengurusan universiti yang telus dan berkesan.
 
Beliau turut memperkenalkan Falsafah H.E.L.A.N.G, iaitu satu akronim yang merangkumi nilai-nilai Holistik, Etika, Legasi, Adaptasi, Naratif dan Gagasan yang perlu diterapkan oleh seluruh warga universiti dalam merealisasikan matlamat UPNM30.
 
Pelaksanaan pelan strategik ini dirancang bermula dengan Fasa Penjajaran (sekarang - Disember) yang memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar dan struktur dalaman, diikuti Fasa Pembangunan (2026) melibatkan pembinaan pelan tindakan menyeluruh. Fasa Aplikasi (2027 - 2029) memfokuskan kepada pelaksanaan dan pemantauan hasil secara berterusan, sebelum mencapai kemuncaknya pada tahun 2030 melalui Fasa UPNM30 menyasarkan UPNM sebagai universiti pertahanan unggul di peringkat serantau.