15 November 2024 | UPNM – Kesatuan Kakitangan Sokongan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (KESUPNA) dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR UPNM) telah menganjurkan Campus Walk Integrity Challenge 2024 @UPNM yang merupakan salah satu daripada aktiviti yang dilaksanakan sempena IQLUPNM 2024. Program ini turut mendapat kerjasama daripada Unit Integriti, Bahagian Jaminan Kualiti dan Pengurusan Data (BJKPD) dan Bahagian Undang-Undang (BUU).
Objektif penganjuran ini adalah untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UPNM. Tema warna hijau juga telah dipilih sebagai tanda solidariti Wear Green For Palestine yang dilaksanakan pada 15 November pada setiap tahun.
Program ini disertai oleh seramai 1,194 orang iaitu 875 pelajar dan 319 staf. Sebanyak 40 hadiah cabutan bertuah juga turut disediakan bagi memeriahkan program tersebut.Program ini disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato' Ts. Dr. Ahmad Mujahid bin Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan turut hadir bersama ialah barisan pengurusan tertinggi universiti, staf dan pelajar memenuhi Pavilion UPNM.