20 MEI 2025 | LANGKAWI: Sempena LIMA’25, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengorak langkah penting dalam memperkukuh peranan strategiknya dalam bidang teknologi pertahanan apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini bersama AIROD, sebuah syarikat terkemuka dalam industri Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) aeroangkasa negara.
Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif AIROD, YBhg. Mej Jen Dato’ Ismail bin Ibrahim TUDM (Bersara).
![]() |
![]() |
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang Aircraft Structural Integrity (ASI) dengan penekanan kepada penggunaan AI untuk pembangunan sistem penyelenggaraan prediktif yang lebih pintar dan efisien.
MoU ini merupakan satu manifestasi nyata terhadap aspirasi strategik UPNM30 seperti yang digariskan oleh YBhg. Naib Canselor dalam perutusan ulung beliau. Kerjasama ini menyokong dua teras penting dalam kerangka UPNM30:
K - Kesarjanaan: Melalui penghasilan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang terus kepada pengukuhan keupayaan pertahanan negara.
P - Pusat Kecemerlangan: Dengan memperkukuh peranan UPNM sebagai rakan strategik utama industri pertahanan, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Lebih daripada sekadar kerjasama teknikal, inisiatif ini menjadi jambatan antara dunia akademik dan industri, selari dengan agenda nasional dalam membina ekosistem pertahanan dan aeroangkasa berteraskan inovasi dan pembangunan bakat masa depan.