20 MEI 2025 | LANGKAWI: Dalam usaha memperkukuh ekosistem inovasi pertahanan negara, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini memeterai satu Surat Niat (Letter of Intent - LoI) bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua (IKTBNDT), menyaksikan satu kerjasama strategik yang menggabungkan kekuatan akademik, kemahiran teknikal dan kejuruteraan pertahanan.
Majlis pertukaran dokumen ini berlangsung di Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), MIEC sempena LIMA’25. bersempena Edisi Ke-17 Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25). Pertukaran LoI ini dilakukan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad dengan En. Shamsuri bin Arif, Pengarah IKTBNDT dan disaksikan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
![]() |
![]() |
Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi akan berganding bahu dalam pembangunan dan reka bentuk prototaip Kenderaan Hover Wing-In-Ground (HWIG) yang akan dilengkapi dengan Remote-Controlled Weapon System (RCWS) - satu inisiatif penting dalam memperkasa sistem keselamatan dan keupayaan kawalan pantai Malaysia.
Sebagai satu-satunya universiti pertahanan di Malaysia, UPNM memainkan peranan penting bukan sahaja melahirkan graduan yang berdisiplin tinggi, malah sebagai pusat rujukan ilmiah dan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Inisiatif ini sejajar dengan agenda nasional dalam memperkukuh pertahanan pintar (smart defence) dan meningkatkan peranan pendidikan tinggi serta institusi latihan kemahiran dalam pembangunan industri pertahanan negara.