29 MEI 2025 | UPNM: Hari ini, UPNM berbesar hati menerima kehadiran Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam syarahan ilmiah bertajuk “Menelusuri Masa Depan Bahasa Melayu: Isu dan Cabaran Semasa” yang berlangsung di Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim.
 
Syarahan ini menjadi wadah kesarjanaan berprestij yang mengupas peranan Bahasa Melayu dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pentadbiran serta media terutamanya di era globalisasi, teknologi maklumat dan lanskap pendidikan moden.
 
 
“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi nadi kepada jati diri dan kedaulatan bangsa. Kita perlu bersikap proaktif dalam memperkasakan penggunaannya agar tidak terpinggir dalam arus pemodenan,” tegas beliau yang menyeru agar generasi muda terus memperjuangkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan. Turut hadir ke syarahan ini termasuklah YBhg Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim bin Wan Teh.
 
UPNM komited menjadi pemacu kesarjanaan pertahanan dan kebangsaan, dan acara seperti ini memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai tunjang kepada naratif keilmuan negara.
 
Sebelum syarahan berlangsung, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad. Dalam pertemuan ringkas tersebut, kedua-dua tokoh membincangkan peranan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa bahasa dan budaya kebangsaan serta kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selari dengan aspirasi kesarjanaan nasional dan hala tuju Pelan Strategik UPNM30.