28 JANUARI 2025 | UPNM: Hari ini, warga UPNM mengadakan acara perbarisan khas sempena perpisahan YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor, sebagai tanda penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau sepanjang menerajui UPNM. Sebelum meninggalkan UPNM, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada warga UPNM yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi, pegawai-pegawai kanan dan staf serta pelajar UPNM.
YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad mengambil alih portfolio Naib Canselor UPNM ke-7 bermula 19 Jun 2023 hingga 29 Januari 2025. Seluruh warga UPNM menzahirkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada YBhg. Naib Canselor atas segala sumbangan, dedikasi, komitmen yang telah diberikan.
27 JANUARI 2025 | PUTRAJAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengadakan Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Naib Canselor yang akan menamatkan tempoh sebagai Naib Canselor UPNM ke-7 pada 29 Januari 2025. Majlis yang penuh bermakna ini diadakan di Everly Hotel, Putrajaya bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor yang memulakan tugas di UPNM pada 19 Jun 2023.
Dalam majlis ini, YBhg. Naib Canselor telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua lapisan pentadbiran yang sentiasa memberikan sokongan penuh dan berkongsi idea kepada beliau dalam menerajui UPNM.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim turut menzahirkan rasa bangga terhadap kepimpinan YBhg. Naib Canselor dalam mentadbir dan mengurus UPNM dengan cemerlang. Turut hadir dalam majis ini adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, barisan Pengurusan Tertinggi, pegawai-pegawai Kanan UPNM, wakil-wakil persatuan dan kesatian termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
16 JANUARI 2025 │ UPNM: Institut Pengajian Eksekutif UPNM (NIEEd) telah mengadakan Hari Pendaftaran dan Taklimat bagi pelajar baharu program Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan (DPPSP) Siri 54/2025 kerjasama di antara UPNM dengan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) telah diadakan pada hari ini di Dewan Bestari. Seramai 180 orang pelajar telah berdaftar dan mengikuti pengajian program ini. 147 orang adalah pelajar tempatan manakala 33 orang adalah pelajar antarabangsa dari 22 buah negara seluruh dunia.
Majlis dirasmikan oleh YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM dan dihadiri oleh Brig Jen Zamsari bin Abu Hasan, Komandan MTAT, Pengurusan Tertinggi UPNM, staf juruarah MTAT, dekan-dekan serta ahli akademik Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan.
20 JANUARI 2025 │ UPNM: YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia di pejabat beliau. Perjumpaan ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik antara UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
8 JANUARI 2025 │ SUNGAI BESI: Pada hari ini telah berlangsung Majlis Penutup Program Kiambang Merah iaitu Program Kesedaran Kesihatan Seksual dan Reproduktif di PPR Raya Permai, Sungai Besi. Program ini adalah di bawah tajaan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Geran UniMadani bagi tujuan Pendayaan Komuniti Setempat.
Melalui program Kiambang Merah juga, sebuah inisiatif Keusahawanan Sosial yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah ditubuhkan. Produk sulung yang dihasilkan ialah ‘Kiambang Care’, iaitu tuala wanita guna semula. Produk ini bukan sahaja dapat menjana ekonomi penduduk setempat, malah membantu membasmi masalah kemiskinan haid dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar berbanding penggunaan tuala wanita pakai buang.
Tim Kiambang Merah yang diketuai oleh Dr. Nor Faiza Mohd. Tohit beserta pasukannya iaitu Dr. Siti Athirah Zafirah Abdul Rashid, Dr. Nur Adnin Ahmad Zaidi dan Puan Wan Farizatul Shima Wan Ahmad Fakuradzi dari Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan (FPKP), UPNM telah turut menerbitkan sebuah artikel dalam jurnal berwasit berkaitan inisiatif keusahawanan sosial ini.
Turut hadir ialah Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid bin Ahmad Zaidi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Mej Jen Dato' Dr. Kwong Fook Wen (Bersara), Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) dan barisan pegawai kanan universiti.