19 JUN 2025 | KUALA LUMPUR: UPNM meneruskan langkah strategik sebagai Universiti Awam (UA) pertama yang melaksanakan Program Diploma Work-Based Learning (WBL) 2.0 selaras dengan hasrat Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk membuka laluan pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan relevan kepada anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
 
Dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kerjasama erat bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), UPNM telah berjaya membangunkan 3 program diploma:
- Diploma Pengurusan Logistik (DPL)
- Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP)
- Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan (DPTP)
 
 

 
Program WBL 2.0 adalah cetusan ilham YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada anggota ATM. Inisiatif ini juga dilihat sebagai satu pelaburan strategik dalam pembangunan sumber manusia pertahanan negara yang lebih relevan, inklusif dan berdaya saing.
 
Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Diploma WBL 2.0 berlangsung hari ini di Dewan Theatrette, UPNM telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), MINDEF, YBhg. Datin Roszanina binti Wahab. Program ini direka berasaskan pemetaan pengalaman kerjaya kepada kurikulum akademik tanpa keperluan kehadiran kuliah secara berkala dan dianugerahkan melalui penilaian profesional mengikut piawaian MQA.
 
? Kohort pertama melibatkan 231 orang anggota ATM:
- 139 Tentera Darat Malaysia (TDM)
- 42 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
- 50 Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM)
 

 
Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad menegaskan bahawa kejayaan penawaran WBL 2.0 ini selari dengan komitmen UPNM untuk menjayakan aspirasi UPNM30 khususnya dalam memperkukuh keterlihatan dan kesarjanaan melalui pendidikan pertahanan yang berimpak tinggi serta menjadi universiti unggul menjelang 2030.
 
Turut hadir En. Izamael Zamzuri bin Ismail, Pengarah, Bahagian Governan IPTA, JPT mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, En. Mohamad Dzafir bin Mustafa, Pengarah Kanan, Pembangunan Dasar dan Kepakaran, MQA, En. Jefri bin Ngadirin, Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara Malaysia, Brig Jen Shamshor bin Hj Jaafar, Pengarah Tenaga Kerja, MK ATM serta Pegawai-pegawai Kanan MINDEF dan ATM.