PROGRAM JOM BALIK RAYA MAHASISWA TAHUN 2025

Pusat Pengurusan Wakaf UPNM (PPW UPNM) melalui inisiatif dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa 2025 yang memperuntukkan bantuan kos perjalanan balik kampung bernilai RM105,600.00 pada tahun ini.

Ini merupakan tahun kedua usahasama antara PPW UPNM dan MAIWP dalam memastikan kebajikan para pelajar UPNM terus terpelihara dan sekaligus dapat mengurangkan beban mereka untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing. Menyahut Inisiatif Rahmah Madani Ramadan, program bantuan balik kampung ini dijangkakan dapat memberi manfaat kepada 510 orang pelajar UPNM.

Sumbangan ini merangkumi tiket penerbangan, tiket pengangkutan bas dan wang saku sebanyak RM100 untuk setiap pelajar bagi kegunaan perjalanan mereka pulang ke kampung. Seramai 480 orang pelajar ke Semenanjung dan 30 dari mereka ke Sabah dan Sarawak bagi tajaan perjalanan pengangkutan balik ke kampung.

Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak MAIWP dan PPZ di atas sumbangan ini.