25 April 2024 – YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi telah menyempurnakan Majlis Penutup Pameran Defence Security and Sustainability (DSS) 2024 di Dewan Zulfaqar, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
 
Penganjuran DSS 2024 adalah penting untuk memberi peluang kepada para penyelidik dan pelajar untuk mempamerkan kerja penyelidikan mereka dan juga memberi pendedahan dan inspirasi penyelidik muda mengenai aktiviti penyelidikan untuk idea penyelidikan yang baharu. Selain itu, DSS 2024 juga boleh menjadi platform untuk membina rangkaian dan potensi kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi.
 
 
 
YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapannya berkata, pihak KPT sentiasa bersedia berganding bahu dengan institusi serta pemain industri pertahanan tempatan terutamanya dalam menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan serta latihan dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar.
 
Tambahnya, selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025, KPT telah menetapkan Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi sebagai salah satu fokus utama yang perlu ditekankan untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan. Walaupun bukan perkara yang mudah kerana banyak aspek yang berkait sama iaitu pemantapan infrastruktur, sumber daya dan sokongan peruntukan kewangan kepada penyelidik. Namun, beliau percaya matlamat ini akan berjaya dicapai dengan penglibatan dan jaringan kerjasama pelbagai entiti.