4 Jan 2022 (Selasa). Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama ATM-UPNM Ke-11 telah dilaksanakan di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg Brig Jen Hajah Fadzillah binti Haji Abdullah TUDM dari Markas Angkatan Tentera Malaysia - Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan (MATM-BOLP) dan Pengerusi Bersama iaitu YBhg Dato’ Dr Junaidah binti Kamaruddin, Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat. UPNM turut disertai oleh YBhg Brig Jen Prof Ir Dr Norazman bin Mohamad Nor (B), Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhg Lt Kol Prof Ts Dr Muhd Zuazhan bin Yahya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, wakil-wakil fakulti dan jabatan.

Di dalam mesyuarat tersebut, UPNM telah menyatakan komitmen bagi membantu ATM dalam meningkatkan taraf pendidikan dan kompetensi pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat (LLP) ATM. UPNM turut menawarkan kursus-kursus pendek, program pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD) dengan bayaran yuran yang menarik.

 

Dalam perkara baru, UPNM memaklumkan penganjuran ASEAN Regional Forum Heads of Defence Universities/Colleges/Institutions Meeting (ARF HDUCIM) Ke-25 pada bulan Oktober 2022 di mana Malaysia dilantik sebagai Pengerusi dan Sri Lanka sebagai Pengerusi Bersama. Selain itu, UPNM akan terlibat secara langsung di Defence Service Asia Exhibition and Conference (DSA) pada 28 hingga 31 Mac 2022 bertempat di MITEC Kuala Lumpur dengan mengadakan pameran hasil penyelidikan Research and Development (R&D) UPNM selain mengadakan Seminar Cyber Security. Dalam masa yang sama, UPNM juga menjadi hub pusat Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) bagi ATM.

Pengerusi menamatkan mesyuarat dengan harapan supaya kolaborasi ATM-UPNM akan terus diperkukuh dengan memartabat pendidikan kelas dunia bagi pegawai dan anggota LLP ATM.