Pada 20 Nov 2021 (Sabtu), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengadakan kolaborasi strategik menerusi kerangka yang melibatkan beberapa pendekatan yang selari dengan bidang kepakaran/kapasiti sedia ada di antara kedua-dua pihak. Kerjasama strategik ini akan dilaksanakan menerusi libat sama di antara UPNM-JAKOA dalam beberapa aspek teras yang merangkumi pendidikan, pembangunan fizikal, kempen penjagaan kesihatan dan peningkatan tahap sosio-ekonomi.
Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM dan Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor, Ketua Pengarah JAKOA telah menandantangani dokumen kerjasama strategik disaksikan oleh Prof Dato’ Ts Dr Ahmad Mujahid bin Ahmad Zahid, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dato’ Dr Junaidah binti Kamarruddin, Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri & Perhubungan Korporat) dan pegawai-pegawai kanan JAKOA. Susulan itu, majlis pertukaran dokumen kerjasama strategik UPNM-JAKOA telah disaksikan oleh YAB Perdana Menteri bersempena Program Walkabout YAB Perdana Menteri Malaysia bersempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan JAKOA dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bera.
Antara kolaborasi yang dicadangkan untuk dilaksanakan adalah mobilisasi promosi program-program pengajian yang ditawarkan UPNM kepada para pelajar Orang Asli. Menerusi program outreach secara berfokus dengan kerjasama JAKOA di perkampungan OA, ia dihasratkan dapat menarik minat lebih ramai generasi muda OA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kerjasama strategik ini juga dihasratkan dapat memberikan lebih kesedaran kepada para ibu bapa komuniti OA tentang kepentingan pendidikan terhadap anak-anak mereka, sebagai asas dalam meningkatkan kualiti hidup serta ekonomi. Selain itu, peluang pendidikan kepada anak-anak OA ini juga bakal meningkatkan bina upaya generasi baharu OA ke arah melahirkan golongan profesional dan berkemahiran tinggi.
Seterusnya, kerjasama menerusi kajian-kajian ilmiah melibatkan OA dalam pelbagai aspek yang relevan, termasuk kesihatan, kejuruteraan dan teknologi yang berkonsepkan kepada ‘keperluan sebenar persekitaran komuniti’ turut menjadi sasaran kolaborasi ini. Selain itu, kerjasama strategik ini juga akan turut membantu para pengkaji sejarah serta kebudayaan OA supaya dapat didokumentasikan sebagai bahan ilmiah yang boleh dirujuk.
Menerusi jalinan kerjasama strategik ini juga, UPNM dan JAKOA komited untuk mengadakan diskusi secara berkala bagi meneroka inisiatif-inisiatif lain yang berpotensi untuk dilaksanakan bagi memberi manfaat jangka masa panjang kepada komuniti OA yang disasarkan. Pada tahun 2021, seramai empat (4) orang pelajar OA yang kini mengikuti pengajian di UPNM akan menerima Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP), JAKOA. Bantuan ini diberikan mengikut peringkat dan kursus. Jumlah keseluruhan bantuan skim yang diberikan kepada empat (4) pelajar OA adalah bernilai RM90,840.00 sepanjang tempoh pengajian di UPNM.