20 JANUARI 2026 | PUTRAJAYA: UPNM menyatakan sokongan penuh terhadap peluncuran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Majlis peluncuran tersebut turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama barisan kepimpinan tertinggi negara serta wakil institusi pengajian tinggi, menandakan bermulanya satu fasa baharu transformasi pendidikan tinggi nasional bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
Sebagai institusi berteras ketenteraan, pertahanan dan keselamatan, UPNM melihat RPTM sebagai landasan penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan pertahanan negara, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan global, ancaman bukan tradisional, kemajuan teknologi serta perubahan landskap geopolitik yang semakin kompleks.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Penyertaan delegasi UPNM yang diketuai Naib Canselor, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad bersama barisan Pengurusan Tertinggi, pensyarah dan mahasiswa menegaskan komitmen universiti itu untuk menjadi rakan strategik KPT dalam menjayakan transformasi pendidikan tinggi negara.
Menurut beliau, transformasi pendidikan tinggi yang digariskan melalui RPTM selari dengan mandat UPNM dalam melahirkan graduan pertahanan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berdisiplin, berkarakter, berdaya tahan dan memiliki keupayaan kepimpinan strategik.
“Dalam dunia yang semakin mencabar, pendidikan pertahanan tidak boleh bersifat teori semata-mata. Ia mesti melahirkan pemimpin yang memahami strategi, keselamatan dan kepimpinan sebenar demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
RPTM yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan generasi masa hadapan turut dilihat seiring dengan aspirasi UPNM30: Memacu Kesarjanaan, Kepimpinan Masa Hadapan yang menjadi teras transformasi universiti menjelang tahun 2030.










