28 - 29 Oktober 2024 | Pasir Mas - UPNM dengan kerjasama komuniti Mukim To’ Uban dan Sekolah Kebangsaan To’ Uban telah berjaya melaksanakan program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani).
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM yang juga anak jati Mukim To’ Uban, Pasir Mas yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan To’ Uban selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Oktober 2024.
Antara program menarik yang diadakan adalah ‘Bicara Santai Anak Watan’ bersama tiga orang panel yang terdiri dari anak jati Kelantan, Program Motivasi Pelajar bersama anak-anak Sekolah Kebangsaan To’ Uban dan Sekolah Menengah Kebangsaan To’ Uban, Pertandingan Dekorasi Masakan, Program Aspirasi Pemimpin, Sesi Bersama Kaunselor, Kenduri Rakyat, Jualan Rahmah, Ceramah Perdana, pameran daripada beberapa agensi dan Gotong-Royong Madani. UPNM turut menyampaikan sumbangan komputer dan komputer riba, buku serta bantuan kepada pelajar-pelajar berkeperluan.
Hadir sama dalam program ini adalah Mantan Ketua Polis Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Muhamad Zaki bin Hj Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (MAKRO), Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, YBrs. Prof. Madya Dr. Imran bin Ahmad, Pensyarah USM dan En. Sanusi bin Jaafar, Guru Besar Sekolah Kebangsaan To’ Uban selaku tuan rumah pada kali ini.