9-10 Oktober 2024 - CHERAS: Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menganjurkan Seminar Psikologi Kaunseling IPT Kebangsaan 2024. Seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Psikologi dan mahasiswa daripada 25 buah IPT, politeknik, Goverment Linked University (GLU) serta agensi-agensi awam telah menyertai Seminar Psikologi Kaunseling IPT Kebangsaan 2024 yang berlangsung pada 9 dan 10 Oktober 2024 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur.

Bersempena dengan seminar tersebut, majlis pelancaran Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat IPT 2024 turut dilaksanakan dan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. Dalam majlis tersebut, Manual Perkhidmatan Kaunselor di IPT telah dilancarkan yang bertujuan memperkukuhkan peranan dan fungsi kaunselor dalam ekosistem pendidikan negara. Pelancaran ini dijangka menjadi satu langkah penting dalam merangka garis panduan komprehensif untuk perkhidmatan kaunseling dalam kalangan pelajar IPT.

"Penganjuran Seminar Psikologi Kaunseling ini dilihat penting untuk memperkasa Pegawai Psikologi dan mahasiswa dengan pengetahuan serta kemahiran terkini dalam bidang kaunseling. Ini selaras dengan usaha kita untuk membentuk komuniti yang seimbang dari aspek mental dan emosi melalui nilai tambah dalam kepakaran sedia ada," kata pengerusi MAKUMA dalam satu kenyataan hari ini.

Seminar ini memberi peluang kepada peserta untuk membentuk jaringan sokongan yang lebih kukuh antara IPT dan komuniti. Pegawai Psikologi, pelajar, dan pakar-pakar akan berkongsi pengalaman, pengetahuan, dan sumber-sumber intervensi yang dapat digunakan untuk menambah baik perkhidmatan psikologi dan kaunseling di Malaysia. Penganjuran ini juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang komited dalam memastikan isu kesihatan mental terus diberikan perhatian utama.

Antara aktiviti menarik dalam program ini adalah sesi pembentangan poster oleh ahli Kelab Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan serta Pegawai Psikologi dari seluruh negara yang memfokuskan pelbagai isu berkaitan kesejahteraan mental dan emosi pelajar, termasuk sesi mengenai rehabilitasi biopsikososial, pendekatan Cognitive Behavioral Therapy (CBT), serta kesan buli siber terhadap kesejahteraan psikologi.