31 Ogos 2024 | PUTRAJAYA: Pelajar UPNM diberi tanggungjawab sebagai Pembawa Jalur Gemilang Besar berukuran 80x40 kaki yang dibawa oleh 120 orang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) dalam acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini.
 
Selain itu, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UPNM buat julung kalinya mewakili Kontinjen Angkatan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kontinjen Angkatan Simpanan ATM merupakan gabungan Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat Sukarela yang terdiri daripada Rejimen Askar Wataniah (AW), Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
 
 

Komposisi penuh kontinjen adalah terdiri daripada barisan Pegawai Kadet Lelaki dan Wanita dari PALAPES UPNM merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Darat, Laut, dan Udara. Kontinjen ini diketuai oleh Lt Kol Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan bin Yahya, Timbalan Komandan PALAPES UPNM, berkekuatan 3 orang Pegawai Sukarela dan 208 orang Pegawai Kadet.