23 Ogos 2023 - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melalui Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) dengan kerjasama bersama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Perintis) UPNM telah menganjurkan Seminar Pengurusan Akademik di Universiti Awam Peringkat Kebangsaan pada 22 dan 23 Ogos 2023. Seminar yang julung kali diadakan telah menerima seramai 86 orang peserta terdiri daripada kalangan pentadbir universiti dan pensyarah akademik.
Selaras dengan Hari Pentadbir yang disambut oleh warga Pentadbir Universiti pada 20 Ogos setiap tahun, maka seminar yang dianjurkan ini amat bertepatan dengan tema Hari Pentadbir pada tahun ini iaitu ‘Pentadbir Madani Memacu Kecemerlangan Universiti’.
Menurut Dr. Mohd Fadhzil bin Zainol selaku Presiden Perintis UPNM dan Pengarah Projek menyatakan bahawa seminar yang dianjurkan ini juga dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) iaitu En. Wan Mohd Wazir bin Wan Abdul Wahab mewakili hampir 15,000 orang Pegawai Pengurusan dan Profesional hadir sebagai tanda solidariti dan komitmen ke atas penganjuran seminar ini.
Dr. Mohd Fadhzil turut berkongsi pembentangan kertas kerja berkaitan amalan terbaik dalam pengurusan akademik turut disampaikan oleh rakan pentadbir dari pelbagai universiti. Hasil perkongsian amalan terbaik di peringkat universiti awam ini diharapkan akan menjadi penanda aras serta rujukan di kalangan pentadbir dalam memastikan penambahbaikan serta kecemerlangan universiti dapat diperkasakan.
Program ini adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadikan universiti sebagai medan perkongsian ilmu dan kepakaran di kalangan para pentadbir universiti akan diteruskan pada masa akan datang. Penyertaan akan diperluaskan ke Universiti Swasta agar perkongsian dan kolaborasi dapat dimampankan demi kecemerlangan institusi pendidikan negara.
Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid bin Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM. Turut hadir sama adalah barisan pengurusan tertinggi universiti.