24 Ogos 2023 – Sempena meraikan bulan kebangsaan, Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (PNC JIPK) UPNM telah menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat UPNM tahun 2023. Sambutan gilang gemilang ini telah diadakan pada 24 Ogos 2023 bertempat di Dewan Bestari UPNM. “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang bulan kebangsaan termasuklah pertandingan persembahan, pertandingan slogan terbaik, pertandingan pakaian beragam, pertandingan poster, pertandingan dekorasi pejabat dan pertandingan Outfit of the Day (OOTD).
Persembahan terbaik telah dinobatkan kepada Fakulti Perubatan dan Kesihatan (FPKP); Pemenang Pakaian Beragam Lelaki dimenangi oleh En Mohd Rossidi Ramle dari BPA manakala Pn Hazifah Abu Hashim dari Pusat Bahasa dinobatkan pemenang Pakaian Beragam Wanita; Pemenang OOTD dianugerahkan kepada PNC JIPK; Pertandingan Slogan Terbaik disandang oleh Prof. Madya Ts. Dr. Suzaimah Ramli dari FSTP; Pertandingan Poster dimenangi oleh Pn Noor Hazarina Farizan dari Pejabat Bendahari dan Adik Awatif Nur Diyanah binti Zaiful Bahari mengungguli Pertandingan Mewarna Bawah 12 Tahun.
YBhg Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad, Naib Canselor UPNM telah menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat UPNM tahun 2023. Di dalam ucapannya beliau menegaskan rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih dan menjunjung pengorbanan pahlawan-pahlawan hebat dahulu yang sentiasa mengalir darah keperwiraan bagi membebaskan Malaysia dari belenggu penjajah.
Turut hadir adalah barisan kepimpinan Pengurusan Tertinggi UPNM, Pengarah dan Dekan Fakulti/Pusat/Jabatan/Bahagian, staf dan para pelajar UPNM.