27 Julai 2023 - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakarkan satu lagi sejarah dengan terlaksananya Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor UPNM Ke-7. Majlis yang penuh dengan gilang gemilang ini telah menyaksikan pertukaran tampuk kepimpinan UPNM di antara YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah dan YBhg Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad. Majlis tersebut yang diadakan di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori telah disaksikan oleh YBhg Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Pertukaran Naib Canselor ini berlanjutan daripada YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, mantan Naib Canselor Ke-6 yang akan bersara dan menamatkan perkhidmatannya. Sebelum mengambil alih sebagai Naib Canselor Ke-7, YBhg Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad merupakan Panglima Medan Timur Tentera Darat Ke-5 yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Sarawak.

 

 

Pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi di atas kredibiliti dan kecemerlangan beliau, seterusnya telah diperkenan dan dilantik sebagai Naib Canselor UPNM bagi meneraju tampuk kepimpinan tertinggi UPNM dalam memperkasa sistem pembelajaran yang komprehensif dan latihan yang berorientasikan pertahanan sebagai tunjang utama dalam pendidikan UPNM melahirkan graduan yang berkualiti.

YBhg Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad di dalam ucapannya telah menyatakan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memacu UPNM dalam meningkatkan lagi kecemerlangan UPNM seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi. Di dalam majlis tersebut, YBhg Lt Jen Datuk Mardzuki bin Muhammad juga telah diperkenalkan kepada barisan Pengurusan Tertinggi dan staf UPNM. Turut hadir dalam majlis adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi UPNM dan Pegawai-pegawai Kanan UPNM.

Seluruh warga UPNM mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah di atas pelantikan ini.

 

 

*Video Pendek Lihat Di Sini: TEKAN SINI