25 Mei 2023 (Khamis) – Bagi memperkasakan dan menjana keupayaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam niche pertahanan dan keselamatan serta penyelidikan berfokus, sebanyak lapan perjanjian telah dimeterai bersama rakan strategik sempena Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA ’23).
Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (Memorandum of Understanding) dan Surat Hasrat (Letter of Intent) telah diadakan di Pre-Function Hall, Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) yang disaksikan oleh YB Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan dan YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri PendidikanTinggi.
Kesemua lapan perjanjian telah ditandatangani oleh YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM dan pegawai eksekutif mewakili organisasi atau syarikat terlibat. Antaranya termasuklah Tentera Laut Diraja Malaysia, Destini Berhad, Nadi Corp Holding Sdn Bhd, Technology Depository Agency Berhad (TDA), Ecole Centrale de Nantes and Naval Group, Havelsan, Netherlands Maritime University College (NMUC) dan Rezki Marine Sdn Bhd.
Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian adalah Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut, Panglima Tentera Udara, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.