23 Mei 2023 (Isnin) – Ruang udara Langkawi sekali lagi digegarkan dengan deruman enjin jet pejuang apabila tirai Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA’23) dibuka secara rasminya hari ini. Kedua-dua menteri, YBhg Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan dan YBhg Anthony Loke, Menteri Pengangkutan bersama-sama merasmikan majlis pembukaan segmen pertunjukan udara.
Sementara itu, Majlis Pelancaran Segmen Maritim yang diadakan di Resort World Langkawi turut disaksikan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Sebanyak 31 pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis F/A18-AD Hornet, Hawk 108/208, Sukhoi SU30MKM dan pesawat pengangkut jenis C-130H dan A400M terlibat dalam pertunjukan formasi.
LIMA '23 disertai lebih 525 pempamer termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat daripada kedua-dua sektor. Bertemakan "Neksus Perdagangan Maritim dan Aerangkasa Asia, pameran terbesar di Asia Pasifik dijangka menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.
Acara itu akan turut menyaksikan 18 negara menyediakan pavilion negara antaranya Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Netherlands, Korea Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.
Turut hadir termasuklah YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM, YBhg Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM dan Pengurusan Tertinggi UPNM.