19 Disember 2022 – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Kementerian Pertahanan telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan kolaborasi Program Kerjasama Akademik Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan.

YBhg Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM  telah menandatangani MoA ini dan disaksikan oleh YBhg Brig Jen Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Komandan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) dan Lt Kol Prof. Madya Ariffin bin Ismail (Bersara), Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM.

 

 

MoA ini yang berkuatkuasa selama 5 tahun bermula 1 Januari 2023 akan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penuntut-penuntut di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT). Antara kandungan MoA termasuklah UPNM akan merancang dan mengkoordinasi keperluan akademik bagi Comparative Study (Luar Negara) dan Kajian Keselamatan (KAJIMATAN) sama ada di dalam atau di luar kawasan MTAT. Keperluan ini adalah merangkumi penyediaan konsep kajian, mengenalpasti dan berhubung dengan agensi-agensi selain daripada agensi-agensi ketenteraan dan keselamatan.

Selain itu, UPNM dan MTAT akan mewujudkan satu Jawatankuasa bersama yang dinamakan Jawatankuasa Bersama Program (JBP). Mesyuarat JBP ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun dan penganjurannya adalah secara bergilir.

Turut hadir adalah Pengurusan Tertinggi UPNM, Laksamana Madya Dato’ ZulHelmy bin Ithnain, Presiden PUSPAHANAS, Brig Jen Hajjah Fadzillah binti Haji Abdullah TUDM, Ketua Pengarah Operasi dan Latihan Pertahanan, Kol Mohd Hafizar bin Md Idris, Ketua Juruarah MTAT dan Kol Nizam bin Che Ani TUDM, Ketua Pembangunan Latihan MTAT.

 

*Lihat Video Pendek Di Sini: https://youtu.be/R5AkcjvIDYo