Pada 3 Oktober 2022 telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), UNITAR International University dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) bertempat di UNITAR. Majlis MoU ini ditandatangani oleh YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, NC UPNM, YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, NC UNITAR dan YBhg Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN.
MoU ini bertujuan untuk perkongsian kepakaran akademik serta membantu anak-anak asnaf Wilayah Persekutuan yang menuntut di UPNM. Majlis ini juga diserikan dengan pemberian sumbangan kepada 20 anak-anak asnaf Wilayah Persekutuan bersempena jelajah pendidikan Keluarga Malaysia yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Jalaluddin Bin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.
Program jelajah pendidikan Keluarga Malaysia ini memberi manfaat kepada para pelajar yang memerlukan bantuan dari segi kewangan bagi persediaan pembelajaran di UPNM. Antara sumbangan yang diberikan termasuklah barangan keperluan asas dan komputer riba. Melalui program ini, UPNM yang sinonim dengan ‘Leader of Character’ dalam melahirkan graduan berdisiplin, karakter pemimpin dan berhemah dibantu dengan peratusan kebolehpasaran graduan yang tinggi akan memastikan setiap pelajar akan dapat mencorak dan mengubah laluan kerjaya yang lebih baik di masa hadapan.
Turut hadir Pengurusan Tertinggi UPNM, pegawai-pegawai Kanan UNITAR dan PRIHATIN.
#UPNMSharing
#KeluargaMalaysia
#JelajahPendidikanKeluargaMalaysia