Pada 30 Ogos 2022 telah berlangsung Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Dewan Bestari, UPNM. Program ini diadakan bagi menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat keamanan yang dikecapi oleh Malaysia selama 65 tahun sejak kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957.

Tema Hari Kebangsaan iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” telah diangkat pada tahun 2022 dan ia sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri  dalam merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

 

Pelbagai acara diselitkan termasuklah 6 persembahan dari FPJB, Pentadbiran UPNM dan pelajar UPNM. Persembahan dari Pejabat Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (JIPK) telah berjaya menjadi Johan melalui persembahan sketsa yang berjudul “Gema Merdeka”. Persembahan khas trio dari Pengurusan Tertinggi UPNM turut mencuri tumpuan dengan pendeklamasian sajak oleh TNC Akademik & Antarabangsa, PNC JIPK dan Pendaftar UPNM.

 

Sambutan Ambang Merdeka berakhir dengan laungan 7 kali “Merdeka” tepat pada jam 12.00 tengah malam yang dipimpin oleh YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM. Turut hadir adalah Pengurusan Tertinggi UPNM, Komandan ALK, Pengarah FPJB, Dekan, staf dan mahasiswa UPNM.

*Lihat Video Pendek Ambang Merdeka UPNM Disini: https://youtu.be/9YvznD1dqfM