13 Jul 2022 - Kenaikan harga barang-barang keperluan asas seperti ayam, minyak masak, tepung dan lain-lain amat membebankan bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan para mahasiswa yang sedang menuntut di universiti.

 

 

Cakna dan prihatin dengan isu kos sara hidup yang tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan Menu Keluarga Malaysia yang disifatkan tepat pada masanya. Dengan harga RM3.50 untuk pelbagai pilihan menu makanan, ia melegakan banyak pihak termasuk pentadbir universiti yang berusaha menyediakan persekitaran terbaik buat para mahasiswa. Menu berkenaan boleh dinikmati di semua kafetaria di kampus UPNM dan pihak pentadbir berterima kasih kepada pengusaha kerana memberikan kerjasama yang baik.

 

YBhg Prof Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT diiringi oleh YBhg Dato’ Dr. Hj Megat Sany Megat Ahmad Sufian, TKSU (Dasar) KPT sempat meluangkan masa dan meninjau beberapa kafeteria di UPNM. Lawatan beliau telah disambut oleh YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM, barisan Pengurusan Tertinggi UPNM dan Majlis Perwakilan Pelajar.