18 Jun 2022 – Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-11 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dilaksanakan di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur mulai 18 hingga 20 Jun 2022.

Pada istiadat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tuanku Canselor berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-11 UPNM bagi Sidang Pertama. Turut berangkat adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-11, UPNM telah menganugerahkan tiga (3) Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada YBhg Laksamana Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor (Bersara) yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Maritim, YBhg Tan Sri Dr. Syed Azman bin Syed Ibrahim yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik dan YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Abdul Aziz bin Hj Zainal (Bersara) yang menerima Doktor Falsafah dalam bidang Strategik dan Hubungan Antarabangsa.

Pada tahun 2022, jumlah keseluruhan pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian dan bergraduat bagi tahun 2020 dan 2021 adalah seramai 2,229 orang. Ini termasuklah 32 orang graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 118 orang graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana, 1,518 orang graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dan 561 orang graduan dianugerahkan Diploma.

Istiadat Konvokesyen pada kali ini turut diserikan dengan penganugerahan Hadiah Akademik bagi Tahun 2020 dan Tahun 2021 kepada 83 orang graduan Ijazah Sarjana Muda.

Di dalam titah diraja, baginda menegaskan kepentingan untuk melahirkan graduan anak tempatan untuk mengisi pelbagai kerjaya bertaraf tinggi terutamanya dalam profesion strategi pertahanan dan keselamatan. Lantaran itu, UPNM disaran untuk meneroka pelbagai bidang baru bagi menjana pemikir dan sarjana yang berkebolehan membuat kerangka pelan jangka panjang dalam memelihara kepentingan strategik negara.

Sementara itu, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM di dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi kolaborasi strategik yang sentiasa menghulurkan bantuan, sokongan dan komitmen kepada UPNM. Beliau menambah sepanjang tahun 2020 dan 2021, UPNM terus melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan penuh kesungguhan dan dedikasi demi memperkasa moto “Menjulang Tekad, Mendepani Cabaran”.

Sebanyak 4 sidang penganugerahan telah dilaksanakan sepanjang 3 hari konvokesyen berlangsung dan Sidang Kedua hingga Keempat disempurnakan oleh YBhg Laksamana Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor (Bersara), Pro-Canselor UPNM. Di dalam Sidang Keempat, Pro-Canselor juga menyampaikan Hadiah Buku kepada graduan diploma yang berjaya.

Turut hadir sama dalam Istiadat Konvokesyen Ke-11 ini termasuklah Menteri Pengajian Tinggi, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Panglima-panglima Perkhidmatan, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan Kementerian, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi UPNM, Komandan ALK, Naib-naib Canselor UA dan Ketua-ketua Jabatan UPNM.

 

* Lihat Video Pendek Di sini: https://youtu.be/zWNfMrY1AyI