7 Jun 2022 – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembiayaan Skim Prihatin Anak Wilayah Kuala Lumpur (SPAW) yang berlangsung di Dewan Bestari UPNM.

Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani oleh YBhg Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM dan YBhg Dato Hj Mohd Ajib bin Ismail, Setiausaha MAIWP. Secara dasarnya, program SPAW adalah merupakan inisiatif mulia yang dilancarkan oleh Pusat Pengurusan Wakaf UPNM bersama MAIWP bagi mewujudkan bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar asnaf yang sedang melanjutkan pengajian di UPNM.

Di dalam ucapan aluan, YBhg Naib Canselor UPNM merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan MAIWP bagi membantu pelajar-pelajar yang layak menerima sumbangan dalam meneruskan pengajian mereka di UPNM. Sementara itu, Pengerusi MAIWP menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab agensi ini untuk menolong dan memastikan pelajar-pelajar berjaya dalam akademik mereka dan seterusnya dapat mengubah masa depan dengan lebih baik lagi.

MAIWP telah menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM205,000.00 kepada UPNM bagi membiayai SPAW. Sumbangan dana ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan kemaslahatan para pelajar asnaf terus dipelihara sepanjang tempoh pengajian mereka di UPNM. Ia juga akan digunakan bagi kegunaan perbelanjaan pelajar asnaf seperti bantuan yuran pengajian, sara hidup, peralatan pendidikan, bantuan kecemasan dan bantuan pengangkutan.

Delegasi MAIWP juga dibawa ke Pusat Simulator Kapal dan ke Lapang Sasar Air Rifle 10 meter.

*Lihat Short Video MoU UPNM Bersama MAIWP Di Link Ini: https://youtu.be/QDR4r-4oS08