29 Mei 2022 – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Kaunselimg dan Kerjaya Universiti-universiti Malaysia (MAKUMA) telah berjaya menganjurkan Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK) pada 27 hingga 29 Mei 2022 bertempat di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur. Seramai 150 orang mahasiswa dari 20 buah universiti awam hadir dalam konvensyen ini.

Konvensyen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman peranan dan tanggungjawab PRS dalam memperkasa kesejahteraan mahasiswa dan membantu serta mendampingi rakan-rakan siswa yang mempunyai isu kesihatan mental dan emosi. Di samping itu, ia menjadi platform dalam menyediakan barisan kepimpinan pelajar yang dapat memberi fokus kepada perkhidmatan dan berupaya menjadi role model kepada mahasiswa yang lain.

 

Terdahulu dalam ucapan aluan, Prof Ts Dr Muhd Zuazhan bin Yahya, Timbalan Naib Canselor HEPA & Alumi UPNM merangkap Pengerusi MAKUMA menekankan kepentingan PRS untuk bergerak dengan lebih proaktif dalam pelbagai program dan aktiviti di peringkat kampus, IPT dan antarbangsa. Beliau juga mengharapkan PRS yang terlibat dengan program ‘Peers to Peers’ dapat bertindak sebagai pengantara dan pemberi maklumat kepada Pusat Kaunseling atau Pegawai Psikologi universiti.

 

Sementara itu dalam majlis perasmian penutup, YBhg Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM mengupas bahawa mental yang sihat dapat memberi keupayaan tinggi dan kental dalam aspek emosi dan jasmani seseorang dalam mengharungi cabaran kehidupan. Beliau menegaskan kesan atau impak dari penularan Covid 19 telah membabitkan para mahasiswa IPT dalam aspek dalaman psikologi dan kesejahteraan diri seperti kecelaruan perasaan, tekanan dan kerisauan melampau. Lantaran itu peranan dan tanggungjawab PRS amat signifikan dan penting dalam membantu mereka yang terlibat.

 

Majlis membaca ikrar PRSK telah diketuai oleh Saudara Muhammad Amirul Syafiq bin Muhamad Fadil dari Universiti Malaya (UM) selaku Presiden Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan Sesi 2022/2023. Manakala Saudara Muhammad Farhan bin Ismail dari UPNM pula telah bertindak sebagai Pengarah Program Strategi konvensyen pada kali ini.

Turut hadir dalam konvokesyen ini adalah En Kaliapan a/l Rajakumaran mewakili Bahagian Mahasiswa Holistik KPT, En Mohd Hanafi bin Mohd Hanafiah, Timbalan Pengarah Institut Sosial Malaysia dan Pengurusan Tertinggi Universiti.