19 Mei 2022 (Khamis) – Jamuan Majlis Hari Raya Aidil Fitri 1443H/ 2022 Peringkat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah berlangsung dengan semangat muhibbah dan penuh keceriaan di Dewan Pendekar UPNM.

Majlis yang dianjurkan ini telah diserikan dengan kehadiran hampir 4,000 orang staf, pelajar UPNM dan tetamu jemputan. Pelbagai menu tradisional dan juadah lazat telah disediakan di samping pengunjung dihiburkan dengan The Scratch Band dan beberapa orang artis tempatan termasuk Ayati Tasrip dan Rina (Kumpulan Eva).

 

Dengan mengambil semangat hari raya, UPNM telah mengadakan Pertandingan Gerai Terbaik dan Dekorasi Raya FPJB. Bagi kategori Gerai Terbaik, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP) telah mengungguli kategori ini. Sementara itu, bagi Pertandingan Dekorasi Raya FPJB, sekali lagi FPPP dinobatkan sebagai Johan, diikuti tempat kedua oleh Pejabat Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (PNC PJIPK), tempat ketiga oleh Pejabat Pendaftar, tempat keempat oleh Pejabat Naib Canselor dan tempat kelima oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

 

Di dalam ucapan ringkas, Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM menzahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada semua barisan jawatankuasa, staf dan pelajar yang telah memberi komitmen, kerjasama dan menjayakan majlis jamuan hari raya dengan meriah dan penuh kegembiraan.

Turut menyerikan majlis termasuklah YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Ketua Setiausaha KPT, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ahli Pengurusan Tertinggi UPNM, Komandan ALK, Pegawai-pegawai Kanan Markas Pemerintahan Barat Tentera Darat dan Majlis Perwakilan Pelajar UPNM.